Showing posts with label pengeluaran kwsp. Show all posts

KWSP - Akaun 1 (Part 2)

Maaf, sudah lama tak kemaskini blog. Semenjak aku mulai bekerja di Unit Rawatan Rapi (ICU), hidupku terumbang-ambing serba sedikit. Maklumlah, tugasku menguruskan pesakit-pesakit yang tak stabil, menstabilkan kondisi mereka, kemudian menghantar semula ke wad untuk rawatan selanjutnya.

Ada yang bertanyakan padaku berkenaan dengan post blogku berkenaan KWSP yang lepas. Dan ada juga yang bertanyakan untuk apa perlu tahu tentang KWSP. Menunjukkan masih banyak persoalan tentang KWSP yang perlu aku jelaskan.

Jadi, aku nak sambung semula bercerita mengenai KWSP.

Saya diberitakan, KWSP ada 3 akaun. Betulkah?
- Ya, KWSP dahulunya ada 3 akaun - Akaun 1 / Akaun 2 / Akaun 3
- Namun, kini telah dijadikan 2 akaun sahaja, berkuatkuasa pada tahun 2007
- AKAUN 1: mengandungi 70% caruman kita
- AKAUN 2: mengandungi 30% caruman kita
AKAUN 1

- Akaun 1 adalah akaun yang punyai simpanan wang terbanyak. Perlu diketahui bahawa caruman kita dalam Akaun 1 ini tidak boleh dikeluarkan sehinggalah umur kita mencecah 55 tahun.

- Namun begitu, kelonggaran diberikan untuk mereka yang berkeinginan melaburkan beberapa peratus caruman tersebut ditempat pelaburan yang lain.

- Dalam melabur, ada juga peraturan yang ditetapkan. Mulai 1 Januari 2014, telah dikuatkuasakan peraturan terbaru - Simpanan Asas Pilihan Pelaburan
Simpanan Asas ialah satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM196,800 pada umur 55 tahun.  Ahli boleh melaburkan simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas dalam produk dan menerusi Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Semuanya wujud bagi memastikan ahli memperolehi jumlah minimum bagi membiayai keperluan asas persaraan apabila bersara kelak, selama 20 tahun bermula daripada umur 55 tahun hingga 75 tahun, iaitu selaras dengan jangka hayat penduduk Malaysia.  
- Dalam keghairahan kita melabur, perlu diingatkan. Wang daripada Akaun 1 hanya boleh dilaburkan di AMANAH SAHAM (UNIT TRUST) yang terpilih sahaja - Institusi Pengurusan Dana, seperti Public Mutual Berhad, serta syarikat amanah saham yang lain.

- Namun begitu, wang yang ada didalam akaun serta hasil dividen pelaburan daripada Akaun 1 TIDAK BOLEH dikeluarkan untuk sampai ketangan kita sehinggalah kita berumur 55 tahun. (prinsip no leakages). Jikalau dijual hasil pelaburan, semuanya akan masuk semula ke Akaun 1 KWSP kita.

Jadi, marilah kita bersama-sama menyahut seruan Kerajaan Malaysia untuk mencapai sekurang-kurangnya RM 196,800 didalam akaun 1 kita dengan melaburkan wang caruman KWSP kedalam Unit Trust Company.

_________________________________________________________________

Akan kusambung dengan bahagian seterusnya berkenaan dengan Akaun 2 dan bagaimana mengeluarkan wang dari Akaun 2.

KWSP - Apa? Mengapa? Siapa? Bila? (Part 1)


Bangunan KWSP dari Jalan Gasing

Setiap kali aku lalui Federal Highway, pasti inilah bangunan yang akan aku lihat, baik sengaja mahupun tak sengaja. Memang inilah pemandangan yang akan terpapar dimata sang pemandu / penumpang kenderaan baik awam, mahupun persendirian

Dahulu, aku tak pernah tahu, apakah fungsinya KWSP ini. Yang aku tahu, ia adalah salah satu badan yang menguruskan wang, seperti namanya - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Tapi, aku mahu tujukan beberapa persoalan pada anda;
  1. Tahukah anda, apakah itu KWSP?
  2. Apakah yang dimaksudkan dengan 'mencarum' dalam KWSP?
  3. Apa kepentingan mencarum dalam KWSP?
  4. Siapakah yang harus mencarum dalam KWSP?
  5. Bilakah kita mampu mengeluarkan wang caruman?

Aku akan cuba menerangkan dalam bahasa mudah tentang KWSP

Apa itu KWSP?
KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) yang menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai. KWSP juga menyediakan sistem yang efisien dan mudah bagi memastikan para majikan memenuhi tanggungjawab undang-undang serta kewajipan moral mereka untuk mencarum kepada KWSP bagi pihak pekerja mereka. (sumber; laman web KWSP)
KWSP - simpanan masa tua anda

Secara mudahnya, KWSP berfungsi untuk menyimpan wang daripada perolehan gaji semua pekerja, yang wajib dipotong setiap bulan bagi memastikan kemudahan setelah persaraan.

Inilah yang dimaksudkan dengan caruman pekerja - sebahagian wang gaji yang diperoleh kemudian disimpan dalam KWSP

Berapa banyak yang perlu dicarum dalam KWSP?

Berbeza mengikut gaji bulanan masing-masing;
RM5,000 dan kebawah ; 11% (dari caruman pekerja), 13% (dari syer majikan)
Lebih RM5,000 ; 11% (dari caruman pekerja), 12% (dari syer majikan)
e-Caruman; kini semakin mudah untuk pemilik syarikat

Apa kepentingan mencarum dalam KWSP?

Ya, soalan yang pastinya ditanya oleh semua orang. Antara kepentingannya adalah;
  1. Mematuhi Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452), sekaligus mengelakkan syarikat dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan Malaysia.
  2. Simpanan wang yang WAJIB bagi memastikan setelah persaraan, kita mampu menyara hidup sendiri

Caruman KWSP boleh diguna untuk langsaikan hutang?

Jawapanku, ya dan tidak
Ya - bergantung pada anda sendiri, setelah peroleh wang hasil caruman KWSP, anda mahu buat apa sahaja dengan wang tersebut. Mahu bayar hutang? Mahu buat hutang baru? Mahu 'enjoy' sakan? Terpulang pada anda.

Tidak - ini tindakan yang kurang matang bagi sesetengah golongan. Ini adalah kerana, wang tersebut boleh dilaburkan dalam perkara seperti Amanah Saham, Tabung Haji, Saham, dan macam-macam lagi. Bergantung kepada keinginan masing-masing.


Nantikan KWSP (part 2) yang bakal menyusul. Antara 'sneak peak';
  1. akaun-akaun yang wujud dalam KWSP
  2. pengeluaran wang untuk pembelian rumah
  3. pengeluaran wang untuk pelaburan
  4. pengeluaran wang ketika persaraan