Mak Saya Kata...

5:23 AM Ahmedkzaman 0 Comments

"Fuh, akhirnya dapat juga aku rehat. Non-Stop dari pukul 8 pagi" Hazwan mengeluh keletihan sambil melabuhkan punggungnya ke sofa bilik rehat kami.


Ya, kerja kami tak putus-putus dari awal pagi. Ada-ada saja pesakit yang datang masuk ke Wad Bersalin sama ada secara kecemasan ataupun dari klinik antenatal dan juga klinik saringan. Belum lagi pesakit yang sedia ada dan juga pesakit yang masuk ke dewan bedah untuk pembedahan kecemasan 'Caesarian Section'  Begitulah kerja kami. Ada hari, boleh berehat. Ada pula hari kami sangat sibuk, hinggakan terpaksa menjama' solat Zohor dan juga Asar disebabkan terkandas didalam dewan bedah disebabkan komplikasi-komplikasi pembedahan yang walaupun SANGAT MINIMA, tetapi tetap ada.

"Hazwan, kau pergi lah 'lunch' dulu. Aku 'cover' wad, kau ajaklah siapa-siapa lagi yang nak pergi makan. Naufal dan aku puasa sunat" cadangku pada Hazwan, yang kelihatan layu, tak makan sejak pagi hingga sekarang, 3 petang.

--------------------------------------------------------

"Houseman!! 'Patient' baru sampai!! BAH!!" jerit jururawat wad bersalin.

Sudah menjadi kebiasaan semua jururawat wad bersalin untuk hanya menjerit bagi memanggil doktor pelatih. Alasan mereka - penat nak berjalan ke bilik rehat Houseman Officer.
Aku bergegas seperti biasa, ke kubikel pesakit untuk 'clerk and examine' pesakit. Seusai memperkenalkan diri, aku memulakan langkahku.

Bayi yang lahir kelihatan 'innocent'. Ibu hendaklah tahu cara mengendalikan kelahiran dengan betul

"Puan Ila (bukan nama sebenar), baby lahir kat rumah, ya? Pukul berapa tu?" soalku padanya
"Iya, doktor. Dalam lebih kurang 2.30petang tadi." jawab Pn. Ila

"Macam mana boleh lahir kat rumah?" soalku dengan nada yang tak berapa senag hati.
"Mak saya kata, tunggu sakit sangat-sangat barulah datang hospital" jawabnya tenang.

"Pecah air ketuban pukul berapa, ya? Baru pecah dalam 2 jam sebelum bersalin ke?" soalku lagi
"Air ketuban dah lama pecah. Sejak semalam pukul 9 malam" jawapannya tenang sentiasa.
pecah air ketuban adalah ditakrifkan seperti keluarnya air yang banyak daripada laluan kelahiran bayi,
ataupun keluarnya air yang berterusan (seringkali menitik-nitik secara berterusan)

"ASTAGHFIRULLAH AL AZIM!!" aku menjerit dalam hati sahaja, kononnya mahu mengekalkan profesionalisme.

"Pn. Ila, air ketuban dah pecah lebih 18 jam. Ini meningkatkan risiko bayi mendapat jangkitan kuman. Boleh jadi juga bayi tak bernafas selepas keluar dari rahim puan. Rugi saja nanti puan mengandungkan anak 9 bulan!" tegurku padanya.

"Tapi, mak saya kata tak apa. Itu biasa. Tunggu sakit kuaaaatt sangat baru pergi hospital" jawabnya degil.

"Baby macam mana lahir tadi, puan? Siapa ada ditepi masa lahirkan baby?"
"Husband dengan Mak saya kat tepi saya masa tu." jawabnya selamba

"Uri baby, siapa yang potong? Macam mana boleh keluar?" soalku sangsi dengan jawapannya.
"Masa baby dah keluar kepala, doktor ambulans sampai. Dia yang potong dan tolong keluarkan uri."

"Baby masa lahir terus menangis ke, tak menangis? Ataupun lepas 5 minit baru menangis?"
"Baby lahir-lahir saja, terus menangis"

Alhamdulillah... bayinya selamat, dimasukkan ke wad untuk diberikan antibiotik.

Antara sebab utama kematian bayi baru lahir;
1. kurang matang
2. masalah semasa tempoh kandungan
3. jangkitan penyakit


---------------------------------------------------

Setelah mendapatkan 'history' yang lebih lengkap, barulah ku faham.
Beliau sebenarnya terlanjur. Baru sahaja dikahwinkan 3 bulan yang lepas.
Ibunya tak mahukan cucunya yang ini. Namun, segala-galanya sudah terlambat.

--------------------------------------------------

Nota kaki;
  • Bahaya sekiranya tidak mendapatkan bantuan perubatan jikalau sudah pecah air ketuban melebihi 18 jam. Baby yang baru lahir boleh berhenti bernafas secara tiba-tiba lalu mengakibatkan kematian jikalau tidak ada bantuan perubatan yang mencukupi

  • Apabila sakit perut mengeras (kontraksi / 'contraction') semakin kerap dan berkala, hendaklah mendapatkan bantuan perubatan. Kontraksi yang terlebih banyak boleh mengakibatkan rahim pecah, serta pendarahan yang amat banyak dan mengakibatkan kematian. Ini biasanya terjadi pada ibu mengandung yang mempunyai parut C-Section.

0 comments: